Pemenang sulung Hadiah Terjemahan Mastera dari S'pura, M'sia, Indonesia & Brunei

NURULKHASANAH AGOST
www. berita.mediacorp.sg
SINGAPURA: Usaha menterjemahkan karya-karya sastera Melayu di rantau ini ke bahasa Inggeris penting untuk memastikan ia dapat terus dikenali, dibaca, dikaji dan dihargai di seluruh dunia.
Demikian ditekankan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli, semasa menyampaikan ucapan di Sidang ke-25 Mastera dan Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) hari ini (28 Sep).
Tahun ini merupakan tahun kedua Singapura menjadi tuan rumah bagi acara yang diadakan di Perpustakaan Negara.
Encik Masagos turut menyampaikan Hadiah Terjemahan Mastera, yang julung-julung kalinya dianjurkan Majlis Sastera Asia Tenggara Singapura tahun ini.
Acara penyampaian hadiah bagi peraduan penterjemahan puisi-puisi terpilih di rantau ini,
membuka tirai Sidang dua hari, bertemakan Kota, Teknologi dan Kemanusiaan.
Kemuncaknya, pengumuman pemenang peraduan penterjemahan, hasil daya usaha Mastera Singapura di bawah naungan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).
PEMENANG TERIMA WANG TUNAI S$3,000, SIJIL, PIALA
Peraduan itu dibuka kepada umum pada bulan Januari tahun ini dan berlangsung sehingga 31 Mei lalu.
Daripada hampir 100 penyertaan diterima, empat individu berjaya dinobatkan pemenang sulung Hadiah Terjemahan Mastera.
Mereka adalah Nur-el Huda Jaffar dari Singapura, Abdul Baaqi Abdul Hisab dari Brunei, Kahar Dwi Prihantono Indonesia, dan Ahmad Nazri Abdullah Malaysia.
Setiap pemenang membawa pulang wang tunai S$3,000, sijil dan sebuah piala.
Untuk peraduan sulung Mastera ini, para peserta dikehendaki menterjemahkan lima karya puisi dari negara masing-masing, ke dalam bahasa Inggeris.
TERJEMAHAN KARYA SASTERA GALAK PERTUKARAN SILANG BUDAYA
Selain untuk mencungkil bakat dalam bidang penterjemahan, usaha itu diharap dapat menjadi jambatan bagi memperkenalkan karya-karya indah bahasa Melayu kepada para pembaca antarabangsa.
Encik Masagos dalam ucapannya menyifatkan usaha menterjemahkan karya-karya kesusasteraan bahasa Melayu ke bahasa Inggeris sebagai satu usaha "penting".
"Penterjemahan ialah satu wadah yang penting untuk menggalakkan pertukaran silang budaya dan pengukuhan ilmu dalam pelbagai aspek termasuk bidang sastera. Teks-teks terjemahan sastera membuka pintu dunia dan budaya asing yang tidak dapat kita terokai tanpa terjemahan," kata beliau.
Encik Masagos juga mengalu-alukan sokongan Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) bagi Hadiah Terjemahan Mastera tahun ini.
"NTC yang bernaung di bawah Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) Singapura, turut mengelolakan pelbagai program seperti bengkel penterjemahan dan Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan dalam usaha memupuk kemahiran penterjemahan di Singapura. Saya difahamkan ratusan pelajar dan penterjemah telah pun meraih manfaat daripada program-program ini," tambah beliau.
TERJEMAH PUISI MELAYU KE INGGERIS "MENCABAR"
Semasa ditemui usai acara penyampaian hadiah itu, para pemenang berkongsi pengalaman mereka menterjemahkan puisi-puisi bagi peraduan tersebut.
Ternyata, ia bukanlah satu proses mudah.
"Untuk menterjemahkan lima puisi ini, saya melakukan kajian yang sangat panjang. Saya harus bertemu dengan penyair, kemudian meminta izin, kemudian menanyakan sajak ini anda ciptakan ketika masa apa? Kemudian, ketika perasaan anda seperti apa? Kemudian, segala maklumat mengenai satu sajak, itu harus saya pelajari dan kemudian sampai lima sajak itu saya fahami baru saya terjemahkan," kongsi pemenang dari Indonesia, Encik Kahar Dwi Prihantono.
"Memang sukar, memang mencabar. Perlu baca puisi itu, saya perlu buat kajian tentang ada perkataan, asal usulnya bagaimana kemudian saya fikirkan penulis puisi yang asal ini, cara pemikiran beliau dan saya cuba gambarkan apa yang ingin diutarakan oleh penulis itu sendiri. Kemudian menterjemahkan ke bahasa Inggeris. Nak mencari padanan idea, padanan perkataan, itu satu kegiatan yang mencabar," tambah pemenang Singapura, Cik Nur-el-Hudaa Jaffar, yang berpengalaman menterjemahkan buku kanak-kanak.
Meskipun sukar, cabaran itu tetap disahut demi memartabatkan kesusasteraan Melayu menjangkaui batasan nusantara sahaja.
"Pembaca di nusantara ini tak sebegitu ramai tetapi kalau kita boleh sampaikan kecantikan sastera Melayu ke seluruh dunia itu lebih baik. Mungkin ada satu bilion lebih orang yang boleh memahami bahasa Inggeris akan dapat menghayati betapa indahnya sajak-sajak bahasa Melayu sebenarnya," pemenang Malaysia, Encik Ahmad Nazri Abdullah memberitahu BERITAmediacorp.
Pandangan yang sama turut disuarakan pemenang dari Brunei, Encik Abdul Baaqi Haji Abdul Hisab.
"Saya pun memang minat dalam sastera Melayu dan terutamanya sastera Inggeris. Saya rasa mengapa tidak (kita terjemahkan)? Kita menaikkan lagi taraf terjemahan Melayu ke Inggeris."
KARYA TERJEMAHAN BAKAL DIBUKUKAN
Pengerusi Mastera Singapura, Profesor Madya Hadijah Rahmat menyifatkan usaha mengadakan peraduan menterjemah puisi-puisi Melayu/Indonesia ke bahasa Inggeris itu sebagai "titik permulaan".
Beliau memberitahu BERITAmediacop, pada masa akan datang, Mastera Singapura akan meneruskan peraduan itu menerusi penterjemahan cerpen dan genre sastera yang lain.
"(Ini) titik permulaan yang saya harap akan membawa kepada peningkatan minat dalam bidang penterjemahan sastera Melayu kepada bahasa Inggeris. Sebab ini adalah jambatan untuk membawa kita ke dunia global, dunia antarabangsa," ujar beliau.
Karya-karya yang sudah diterjemahkan bakal dibukukan sama ada dalam bentuk cetak atau buku elektronik.
SAKAT tahun ini membincangkan isu-isu seperti teknologi, nilai dan rentas media, kesatuan dan pengantarabangsaan sastera Asia Tenggara serta pembangunan ekologi sastera dan potensi manusia.
Dalam sesi hari kedua esok (29 Sep), sebuah Forum Penulis Muda Mastera akan diadakan untuk membincangkan isu teknologi dalam sastera, idea kemanusiaan dalam penggunaan teknologi dan peranan sastera dalam memanusiakan teknologi.
- BERITAmediacorp/nk
Tautan berita https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/pemenang-sulung-hadiah-terjemahan-mastera-dari-s-pura-m-sia/4342320.html